---
Nik yang masih lagi berehat di wad perubatan terdengar perbualan di antara Rohaizah dan Zura. Dia melihat gerak geri Ikmal yang sedang memperkatakan sesuatu kepada Rohaizah sambil diperhatikan oleh Zura. Sejurus kemudian Ikmal bergerak menghampiri ke arahnya.
"Camna keadaan awak sekarang, Nik?" soal Ikmal bersahaja.
Nik hanya mengeluh kecil. Kepalanya masih pening tetapi tidak seteruk awal tadi. Apa yang dia tahu, tiada sebarang kecederaan dalaman terhadap otak mahupun tengkorak kepalanya. Cuma kesan dari hantukan tersebut masih lagi menghantuinya.
"Saya, saya dah okay sedikit Ikmal. Jangan risau, " balasnya sambil merenung ke arah Rohaizah.
Ikmal hanya tersenyum.
"Apa yang sedang berlaku sekarang?" tanya Nik.
"Kita baru sahaja sampai berdekatan dengan Pluto. Dan kita terjumpa sesuatu yang tidak disangkakan."
Nik berbalas pandangan dengan Ikmal. Kurang percaya dengan apa yang didengarinya.
"BLEU, " bisik Ikmal secara ringkas sebelum melangkah keluar dari bilik perubatan tersebut dengan Zura. Rohaizah sekadar memerhatikan gerak geri mereka berdua yang menuju ke turbo lif untuk berkumpul di kawasan shuttle bay seperti yang ditetapkan awal tadi.
Riak wajah Nik jelas terkejut dengan apa yang didengarinya. BLEU? Bagaimana mereka boleh menemui BLEU?? Persoalan tersebut bermain di dalam fikirannya.
---
Ezwan sedang memperkatakan sesuatu dengan Jasmin apabila munculnya Raymond dan Alia berserta dengan 2 orang anggota keselamatan, Nathan dan Mikael.
Seketika kemudian, Zura dan Ikmal baru tiba ke kawasan shuttle bay tersebut dan mereka berkumpul di satu sudut bertentangan dengan kapal shuttle yang akan digunakan mereka untuk tiba ke kapal angkasa BLEU. Ianya mampu memuatkan 10-15 orang.
"Sekarang untuk makluman anda semua, kita akan melaksanakan misi mencari dan menyelamat di atas sebuah kapal angkasa yang terapung tidak jauh dari kita. Mungkin anda semua akan terkejut apabila nama kapal angkasa tersebut adalah BLEU." Ezwan berhenti seketika dan menunggu reaksi dari mereka yang berada di sana.
Jelas Alia, Raymond, Zura dan juga 2 anggota keselamatan Nathan dan Mikael terkejut dengan apa yang didengari mereka. Sebelum Alia ingin mengajukan soalan, Ezwan memberikan isyarat untuk bersabar dulu.
"Berdasarkan pada rekod database yang kita ada, kapal tersebut disahkan sebagai BLEU. Namun kita harus berwaspada kerana pelbagai kemungkinan itu ada termasuk jua jika ini merupakan satu perangkap yang kita tidak ketahui."
"Perangkap?" tanya Raymond.
Ikmal mengerling ke arah Raymond. Ikutkan Raymond patut dah boleh faham memandangkan laporan yang diberikan oleh Lim dan dia sendiri tentang entiti medan tenaga.
Raymond tersentak seketika sambil terbatuk, tanda memahami apa yang dimaksudkan oleh Ezwan dan Ikmal. Fikirannya ligat memikirkan tentang dirinya sendiri. Bahaya apa yang akan menantinya di sana. Alamak...
Jasmin mengambil alih dari Ezwan untuk menerangkan langkah seterusnya.
"Mengikut skematik dan imbasan yang dilakukan, kapal tersebut telah mengalami kerosakan teruk di bahagian tengah. Kita percaya BLEU telah terpisah dua dan mungkin ini disebabkan oleh pelanggaran atau letupan dari dalam.
Imbasan yang kita lakukan mengesahkan adanya tanda-tanda kehidupan, tetapi kita tak pasti sama ada ianya milik anak kapal atau sebaliknya, dan juga berapa ramai. Apa yang kita ketahui mengikut skematik, tanda tersebut didapati zon kuarters c dan juga berhampiran makmal sains . Kedua tempat ini berada di aras yang berlainan.
Dan juga sistem bantuan oksigen dan juga graviti masih lagi berfungsi seperti biasa. Tetapi kita harus berhati-hati dan pastikan but magnetik digunakan dan penggunaan topeng oksigen jika diperlukan," terang Jasmin dengan sebaik mungkin.
Nathan dan Mikael mengangguk tanda faham, manakala Zura cuba memikirkan sebarang kemungkinan yang akan dihadapinya selaku seorang pegawai perubatan. Pasti kit medikal yang dibawanya mencukupi dan dapat membantu apa yang perlu.
"Keutamaan kita yang pertama adalah, untuk mengenalpasti punca sebenar yang menimpa kapal angkasa BLEU. Mengikut skematik , ada satu bilik kawalan yang berada di hujung zon kuarters c dan ianya berfungsi sebagai bilik kawalan kedua dari segi navigasi, kawalan kapal dan sebagainya. Jadi apa yang kita akan lakukan adalah mencari bilik kawalan tersebut dan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat yang ada.
Kedua adalah mencari dan menyelamat di mana lokasi utama adalah di kuarters zon c dan lokasi kedua di makmal sains. Apabila selesai , maka kita akan kembali semula ke GAIA. Semua faham?"
Ezwan merenung ahli krew yang berada di depannya. Termasuk dia sekali, seramai 7 orang akan berangkat ke sana. Alia hanya berperanan sebagai pengemudi kapal shuttle tersebut dan akan berada di dalam shuttle selama mana mereka menjalankan misi mencari dan menyelamat itu.
"Kalau takda soalan, kita boleh berangkat sekarang, " katanya lagi sambil memberi isyarat kepada Alia.
Alia dengan segera menghidupkan kapal shuttle tersebut dan melakukan apa yang perlu. Sejurus kemudian, kapal itu dipenuhi dengan 6 orang yang lain.
"Shuttle Lia ke Bridge. Kita sekarang akan berangkat ke BLEU. Harap maklum, " kata Alia melalui interkom.
Ezwan dan Ikmal hanya berpandangan sambil tersenyum apabila Alia menggunakan panggilan Shuttle Lia.
Mereka berbisik sesuatu sambil diperhatikan oleh Alia. Alia hanya tersenyum sahaja.
Seketika kemudian kapal shuttle tersebut mula bergerak keluar dari pintu kargo yang terbuka sebelum mereka memulakan penerbangan ke arah kapal angkasa BLEU.
---
Lee Yong dan Ismail sekadar memerhatikan pemergian kapal shuttle tersebut menuju ke arah BLEU melalui visual layar di bridge. Seketika kemudian, 2 orang lelaki mula melangkah masuk ke dalam bridge.
Ramis yang diamanahkan oleh Jasmin untuk menjaga keselamatan ahli krew GAIA bersama-sama dengan Wong Jie mengambil tempat di stesen terminal Jasmin lalu melakukan tugasannya untuk menyemak setiap penjuru keselamatan di luar dan di dalam.
Dia yang kebetulan bertembung dengan Nik ketika baru keluar dari kafetaria selepas membantu Didi dan Amylia menghantar Azylndah ke wad perubatan awal tadi.
Nik tanpa berlengah-lengah mengambil tempat duduknya di stesen terminal sains lalu menekan sesuatu. Sejurus kemudian, dia melihat skematik daripada database pusat ANGKASA dengan skematik imbasan yang diperolehi awal tadi.
"Nik, bukan ke doktor kata awak kena rehat secukupnya?" tanya Lee Yong yang risau akan keadaan Nik. Lelaki tersebut menjadi pendiam pula. Selalunya dialah orang yang suka berceloteh dan suka menghiburkan suasana.
Nik tidak menjawab. Dia hanya meneruskan apa yang dilakukannya tadi. Dia seperti dapat merasakan sesuatu yang tak kena. Apa yang aku terlepas pandang? Soal dirinya sendiri.
---
Rohaizah dan jururawat Malini sedang memeriksa keadaan Azlyndah yang tercedera ketika letupan yang berlaku tadi menyebabkan dia terhantuk kepala dan mengalami sedikit benjolan di dahinya.
Bagaimanapun dia sudah sedarkan diri dan sedang menerima pemeriksaan kedua untuk memastikan dia dalam keadaan sihat sepenuhnya.
"U okay Lyndah?" soal Malini sambil meneliti imbasan yang baru dilakukannya dengan Rohaizah.
Azlyndah hanya mengangguk kepala. Kurang ingat apa yang terjadi padanya tadi tetapi dia merasakan dirinya tidak mengalami sebarang masalah. Mungkin pening sedikit.
Rohaizah yang sedang menaip laporan di mejanya tersedar sesuatu. Dia menoleh ke arah Malini yang sedang membantu Azlyndah bangkit bangun.
"Malini, mana Mimi?" soal Rohaizah. Pelik pulak jururawat seorang ini. Tiba-tiba pula menghilang walhal tadi tengah sibuk memeriksa inventori perubatan.
"Er... tadi dia kan ada. Mungkin dia pergi washroom? Atau..."
"Atau apa?"
Malini hanya tersengih saja. Rasanya Rohaizah dapat faham apa yang dimaksudkan.
Rohaizah hanya mengeleng kepala dengan riak wajah kurang percaya.
"Mentang-mentang Doktor takda , so dia ambil peluang keemasan ya. Mmm."
Rohaizah faham apa yang cuba dinyatakan oleh Malini. Mimi pastinya sedang mencari masa terluang untuk berjumpa dengan Nash di kafetaria.
Dia hanya tersenyum kecil. Tak mengapa, perkara kecil sahaja.
No comments:
Post a Comment