Angkasa adalah suatu misteri yang luas, yang tiada hadnya dan sehingga kini masih menjadi pengejaran ribuan saintis untuk mengupas, mengkaji, menyelidik dan akhirnya menakluki.

Namun, adakah angkasa itu milik kita untuk dijadikan sedemikian?

Thursday, November 8, 2012

BAB 5

DUMM!!!

Bunyi hentakan yang kuat datangnya dari pintu masuk mereka tadi. Seakan ada orang lain yang berusaha untuk memecah masuk. Lelaki tersebut mendapatkan cangkul yang diberinya pada perempuan itu.

Siap sedia dengan postur untuk memukul gaya besbal, walaupun agak berat sedikit kayu cangkul itu.
Perempuan itu sekadar berdiri di belakangnya. Diselubungi ketakutan dan peluh yang sejuk membasahi wajah mereka berdua.

Pintu masuk itu pecah pada penguncinya lalu terbuka luas. Serentak dengan itu, satu lembaga manusia meluru masuk ke rumah tersebut lalu terjelopok di atas lantai.
Bayangan yang kurang terang menyukarkan pandangan mereka berdua.

Rambut yang panjang serta sedikit kekuningan di hujung rambutnya teserlah sedikit.
Baju birunya yang koyak rabak di bahagian belakang dengan kesan luka di aras bahu kiri, tidak kurang pasti sama ada ianya kesan cakaran atau disebabkan lain.

Hembusan nafas yang kuat dan tidak menentu, mirip hembusan yang didengari oleh lelaki itu tadi sebelum ini.

Lelaki itu bergerak perlahan-lahan ke arah lembaga manusia itu. Angin dari luar semakin kuat lalu memadamkan lampu lilin yang ada.

Gelap!!

Cahaya bulan mengambang yang terang itu sedikit sebanyak menyinari arah pintu masuk rumah itu. Dari apa yang dia dapat lihat, ada bayangan dari luar pintu rumah itu.

Dia menoleh secara berhati-hati...

Tiga cahaya berbentuk segitiga seakan-akan 'mata' merenungnya dari luar. Ia ibarat goggles multi vision yang dipakai oleh tentera untuk misi waktu malam. Tapi dia tak dapat nak pastikan dengan lebih lanjut dan tiada apa jua bentuk fizikal yang dapat dilihatnya. Ibarat kosong sahaja...

" Lilah?" perempuan itu bersuara.

Dia seperti mengenali lembaga manusia yang terbaring itu, berdasarkan dari warna rambut kuning itu. Seingat dia, Lilah baru sahaja basuh rambutnya semalam dari warna kekuningan, selepas majlis tari menari yang dihadiri mereka kelmarin di ibukota.

Lilah juga salah seorang kawan rapat yang bersama dengan dia malam ni, di samping dengan Farah. Ke mana jua dia pergi, mereka berdua tetap akan bersama.

" Lilah?"

Dia melangkah sedikit demi sedikit sebelum langkahnya dimatikan. Bahu kanannya dipegang dengan kuat seakan ditolak ke arah belakang. Tangan lelaki itu memberhentikannya dari melangkah ke hadapan.

Apa yang dia tahu adalah lelaki tersebut menggelengkan kepalanya dan jari telunjuk tangan kanannya menutup mulut menandakan supaya dia tidak bersuara langsung.

" De....a"

Dia kenali suara itu...memanggil namanya walaupun tidaklah sekuat mana. Angin semakin bertiup kencang dan menyukarkan pandangan mereka berdua.

Lelaki itu hanya mampu melihat wanita itu secara tiba-tiba ditarik keluar dari rumah itu, seakan seperti layang ditarik tali.

Jeritan wanita itu tidak didengari mereka berdua.....yang mampu mereka lakukan hanyalah berdiri, kaku, dan takut.

Beberapa saat kemudian suasana kembali tenang.
Angin yang kencang tadi hilang serta merta.
Tiada apa-apa pun di luar.

Perempuan itu membuka matanya perlahan-lahan. Dia kaget....
Lilah yang tadi di hadapannya kini hilang terus.
Mana dia pergi? Apa yang terjadi kat sini? Mana Farah??

Air matanya mengalir tiba-tiba, lantas dia terduduk di atas lantai.

" Farah!!!! Lilah!!!!!"


---


Ezwan terjaga terus dari lenanya. Matanya melihat - lihat arah sekeliling dan cuba mengenalpasti di mana dia berada sekarang.

Seingatnya, dia tadi baru sahaja bermesyuarat dengan krew senior tentang apa yang telah dilaporkan tentang Lim mengenai medan tenaga asing yang menyerupai suatu parasit dan melekat di penghujung bahagian kapal angkasa GAIA. Namun mereka tidak dapat mempastikan dari mana datangnya medan tenaga tersebut dan apakah sebarang pihak yang bersembunyi di sebalik medan tenaga tersebut.

Ezwan mengarahkan Lim dan Ikmal untuk mencari jalan untuk menegal pasti medan tenaga tersebut dan jika ada sebarang cara untuk meleraikan medan tenaga tersebut dari terus melekat dengan GAIA.

Selepas mesyuarat tersebut, Ezwan merasakan perutnya tidak selesa dan dia sedar bahawa dia kelaparan. Hampir separuh hari dia tidak menjamu selera dan kini dia harus akur.

Kafetaria GAIA terletak di aras 1 di mana ianya juga berada di aras yang sama dengan kuartes anak kapal yang lain. Ruang kafetaria tersebut tidaklah besar tetapi ianya mampu menampung sekurang-kurangnya 30 orang dalam sesuatu masa, dan jumlah tersebut hampir sama dengan jumlah anak kapal sedia ada.

Ketika dia melangkah masuk ke kafetaria tersebut, Nik dan Ramis sedang berbual sesama sendiri tentang hobi masing-masing. Manakala Amylia pula sedang memberi panduan pada Didi tentang jadual makan seterusnya.

"Apa khabar Kapten?" Azlindah yang sedar akan kemunculan Ezwan segera bertanya khabar.

Nik dan Ramis segera bangun dan memberi salam hormat pada Ezwan sebelum mereka menyambung aktiviti mereka.

Ezwan menuju ke arah sudut sebelah kanan kafetaria tersebut di satu meja yang terpencil. Meja yang dia pilih khas sebagai meja makan bagi kapten kapal.

" Kapten, yang biasa ke? " tanya Azlindah.

Ezwan bukanlah orang yang cerewet dalam bab permakanan. Selalunya dia suka makan nasi berlaukkan ayam dan telur, atau mee kari. Namun di hari ini, dia inginkan sesuatu yang lain pulak.

" Erm, chicken chop arini dengan teh panas dan air laici "

" Oh, lain dari yang biasa ke kapten? Ok." 

Azlindah segera berlalu dan menyampaikan pesanan tersebut pada Amylia.

Ezwan memerhatikan sahaja gerak geri mereka semua sambil tersenyum. Baginya yang penting adalah sikap positif dan komitment mereka terhadap kerja dan tugas mereka semua, walaupun apa jua yang akan mereka alami.


---


"Ezwan... Ezwan... Kapten?" 

Kedengaran suara seorang wanita cuba menyedarkannya dari lamunan yang dialaminya.

Ezwan membuka kelopak matanya semula. Dilihat wajah seorang wanita sedang menelitinya dengan penuh cermat.

Dia mengecam wanita tersebut. Wanita yang menjadi peneman kepadanya selama setahun yang lepas, hingga membuahkan perasaan yang sudah sekian lama hilang sebelum ini.

Ezwan bangkit dari kerusi sofa yang terletak di dalam bilik kaunseling. Dia kurang pasti sudah berapa lama dia tertidur sehingga posisi badannya terbaring di atas sofa tersebut.

Zura hanya berdiri memerhatikan lelaki yang membuatkan hatinya terbuka semula semenjak kematian arwah suaminya 5 tahun yang lepas di bumi. Sejak dari hari itu, dia menghabiskan masa dalam kerjayanya sebagai doktor dan pegawai perubatan di samping menamatkan pengajian dalam bidang kaunseling. 

Sepanjang perkongsian hidup dengan arwah suaminya, rezeki tidak berpihak kepada mereka untuk mempunyai zuriat. 

"Zura, berapa lama dah saya tertidur kat sini?" soal Ezwan sambil bingkas bangun dan meregangkan otot bahu dan lututnya.

"Tak lama pun, 30 minit camtu."

"Owh ok. Ingat lebih sejam tadi."

"Ezwan.."

Zura terhenti seketika. Tak pasti samada adakah perlu baginya untuk bertanyakan soalan ni.

Ezwan membisu sambil menunggu sambungan ayat dari Zura.

"Erm tadi awak mengigau ketika tidur tadi. Seperti tengah mimpi ngeri."

Riak wajah Ezwan berubah seketika. Mimpi ... 
Betul, mimpi ngeri. Bukan sekadar mimpi ngeri, tetapi lebih kepada memori silam.

"Awak?" 

Ezwan merenung wajah Zura. Walaupun dari segi umur Zura lebih tua 3 tahun darinya , namun ianya bukanlah menjadi penghalang bagi mereka. Entah macam mana mereka boleh jatuh cinta, tetapi ianya berlaku sebaik mereka menamatkan satu misi menyelamat di sebuah bintang kecil berhampiran planet Musytari.

"Siapa dia yang awak sebutkan tadi?"

Ezwan terkejut dengan soalan dari Zura. Dia?

"Dia..."

Ezwan teringatkan kata-kata terakhir yang didengarinya melalui telekomunikator sewaktu dia masih berada di hospital pakar Prince Court 2. Dia ketika itu sedang menjalani sedikit ujian khas yang wajib dilakukan sebelum dia ditugaskan ke planet Marikh sebagai XO Pusat Pemantauan Angkasa di bawah naungan ESF. Dia juga pernah dilamar pusat NASA untuk menyertai kapal angkasa LIMITLESS yang baru sahaja menjalankan tugasan memantau kawasan angkasa lepas di antara Bumi ke bintang Van Maanen yang terletak di konstelasi Pisces. Namun di atas sebab peribadi, dia terpaksa menolaknya.

" I have to go....." 

Ayat terakhir dari wanita yang dia kenali sewaktu insiden yang dialaminya hampir 13 tahun lepas. Insiden yang hampir meragut nyawa mereka berdua, insiden yang mendorong Ezwan untuk menyertai ANGKASA, dan juga insiden yang mengenalkan Ezwan dengannya. 

Ezwan tak menjawab soalan Zura. Sebaliknya dia meninggalkan bilik kaunseling tersebut dengan tergesa-gesa. Zura terpinga-pinga melihat Ezwan meninggalkannya begitu sahaja.

Rohaizah yang berada di bilik rawatan bersama beberapa orang jururawat sedia ada segera mendapatkan Zura. Zura hanya mendiamkan diri sahaja. Dia sedar ada perkara lain yang tidak diketahuinya dari Ezwan, malahan Ezwan sering mengelakkan diri jika ditanya tentang kisah peribadinya.

"Jangan risau Rohaizah. I`m fine."


No comments:

Post a Comment