Angkasa adalah suatu misteri yang luas, yang tiada hadnya dan sehingga kini masih menjadi pengejaran ribuan saintis untuk mengupas, mengkaji, menyelidik dan akhirnya menakluki.

Namun, adakah angkasa itu milik kita untuk dijadikan sedemikian?

Monday, December 3, 2012

Bab 19 - Perang?


Terang, cahaya yang terang. Silau, tak nampak apa-apa pun.
Blur, bercelaru... fikirannya tak menentu.
Dia terasakan dirinya baru terbangun dari mimpi yang lama sudah, tak teringat apa jua yang berlaku sebelum ni. 
Sedikit sebanyak penglihatannya mulai jelas dan tidak lagi kabur. Namun dia tidak berasa selesa jua kerana tidak bercermin mata.
Lampu siling adalah perkara pertama yang dilihatnya tatkala dia berada di dalam keadaan berbaring.
Di manakah dia sekarang? Sambil cuba mengingati segalanya, kedengaran tapak kasut berjalan ke arah dia.
Dia menoleh ke sebelah kanannya. Matanya terpandang wajah seorang lelaki, yang bercermin mata, seseorang yang dikenali..

" U dah sedar ? " suara lelaki itu, suara yang selalu berbual dengannya di waktu lapang.

" I kat ne ni ? " dia cuba bangun tapi terasa amat sukar, berat sungguh badannya.

" U sekarang kat bilik perubatan. Nasib baik i dengan Amylia dapat cari u dan terus hantar ke sini. Kalau tak...." dia berhenti seketika, lidahnya kelu. 
Tidak ingin berfikir ke arah tersebut, tapi itu mungkin terjadi kalau dia tak sempat dan gagal.

Azlindah terdiam seketika. Dia baru teringat sedikit demi sedikit.
Dia ingat memang dia pasti mati tadi, dengan darahnya tak henti-henti mengalir.
Di saat itu juga, Azlindah seakan terkejut dan tidak semena-mena menjerit.

Zura dah berpesan dengannya sebelum ni yang keadaan Azlindah masih lagi tidak stabil, namun dia tidak kisah.
Dia rasakan yang Azlindah cekal dan tabah, pasti mampu menangani situasi yang dialaminya.
Namun sangkaan dia meleset.

Azlindah seperti dalam keadaan histeria, meronta-ronta. Nasib baik, kaki dan tangannya telahpun diikat awal tadi oleh Zura.
Zura yang tika itu sedang menjalankan analisis pada kedua-dua mayat entiti ULF itu segera mendapatkan Azlindah, lalu disuntiknya dengan ubat penenang.
Beberapa saat kemudian keadaan Azlindah mulai tenang dan tidak sedarkan diri semula.

Zura mengeluh sambil memandang ke arah Raymond.

" Kan saya dah cakap tadi, keadaan dia masih lagi lemah. Tapi kamu berkeras juga! " Zura bernada tinggi.

Dia pantang apabila amaran awalnya tadi tidak dipatuhi, apatah lagi perkara yang berkaitan dengan pesakitnya.
Juga tadi dia semakin hampir untuk mencungkil jawapan tentang entiti ULF dari autopsi yang dilakukannya tadi.
Namun disebabkan oleh gangguan ini, dia terpaksa meneliti semula. Ada sesuatu yang dirasakan pelik, dari segi pemerhatian struktur genetik dan selular anatomi. Seperti dia pernah melihatnya sebelum ini. Tapi....mustahil....

Raymond mengundurkan dari bilik perubatan. Kesal dengan apa yang berlaku tadi, namun dia bersyukur Azlindah dalam keadaan selamat kini. Amylia pula kebetulan baru sahaja memasuki bilik itu dengan sandwich telur berserta minuman. Dia bercadang untuk menemankan Zura sambil membantu melihat-lihatkan keadaan Azlindah.

Raymond kini bergerak ke bilik maintenance di atas aras 1 untuk memeriksa sistem sensor dalaman dan komunikasi. Setelah disahkan oleh Ramis bahawa tiada lagi pencerobohan di dalam kapal, maka dia menjalankan tugas yang sepatutnya untuk memastikan segalanya berfungsi dengan baik. 

----

Lee Yong berasa lega apabila difahamkan oleh Ramis yang 2 entiti ULF telahpun berjaya ditumpaskan dan kini Zura sedang menjalankan autopsi untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya. Cuma sekarang persoalan baginya ialah kehilangan Didi tanpa sebarang kesan langsung mahupun mayat andai kata dia telah diserang. 

" Lee Yong, saya rasa kita sedang diekori oleh kapal tadi " kata Ikmal, keliru.

" Diekori? " Mustahil, getus Lee Yong di dalam hatinya.

GAIA mustahil dapat diekori oleh mana-mana kapal angkasa terkini berdasarkan pada teknologi terbaru yang sedia ada.
Kebolehan 'cloaking' dapat menyembunyikan pergerakan kapal secara visual di samping tidak meninggalkan sebarang jejak yang dihasilkan oleh sisa ion dari penggunaan teknologi warp. 

Namun penggunaan 'cloaking' menggunakan tenaga reaktor yang cukup tinggi untuk mengekalkan keadaannya. Maka penggunaanya adalah terhad dan terbatas. Lee Yong sedari akan faktor ini, dan tidak menolak kebarangkalian punca ini sebagai salah satu sebabnya. Tapi dia tetap berasa was-was.

" Ikmal, kurangkan kelajuan ke warp 1 secara perlahan-lahan. " 

Ikmal mengerakkan level warp dari paras bawah ke atas secara perlahan-lahan, di samping memerhatikan carta laluan untuk mengelakkan mereka dari berada di persekitaran kawasan 'asteroid'. 

" Ramis dan Raymond, lapor diri ke bilik kawalan dengan segera! " interkom Lee Yong sambil mengaktifkan sistem keselamatan LEVEL 2.

Tatkala itu, kelengkapan senjata kapal GAIA yang terdiri dari torpedo photon dan senjata plasma aktif dan bersedia untuk digunakan.

" Lee Yong, kapal tersebut mulai perlahan dan berada di jarak 1.5 kelajuan cahaya. Saya cuba imbas kapal tersebut menggunakan sensor jarak jauh namun gagal. Seperti ia dipantulkan semula. Tapi.."  

" Tapi apa Ikmal? " 

" Saya dapat mengenalpasti jenis kapal tersebut berdasarkan pada data ID yang dapat dipadankan menggunakan sistem NEURAL. Tapi... " Ikmal terhenti seketika sebelum skrin visual hadapan memaparkan data yang diperolehi.

NEURAL adalah sistem maklumat perkapalan ESF yang merangkumi semua jenis kapal angkasa di bawah naungannya termasuklah dari NASA dan ANGKASA. Ia boleh mengimbas ID secara infra dan ketepatannya adalah 100%. 

Apa yang terpapar di skrin visual membingungkan Ikmal dan Lee Yong. Kebetulan juga Ramis baru sahaja melangkah masuk ke bilik kawalan.
Dia kelihatan tidak terkejut dengan apa yang dilihatnya, namun kurang pasti apa yang sedang berlaku sekarang.

Skrin visual memaparkan jenis kapal, bentuk, keupayaan dan di bawah kendalian negara mana. Maka apa yang ditonjolkan adalah sesuatu yang sememangnya di luar jangkaan.

" Lee Yong, apa yang sedang berlaku ini!? Kenapa kita diekori oleh kapal perang ESF!? " pertanyaan itu diajukan oleh Ikmal. 

Lee Yong tak pasti nak apa yang harus dilakukan sekarang. Amnya, kapal perang ESF akan dikerahkan andai berlakunya perang sivil di angkasa melibatkan pihak di bawah naungannya atau perkara di luar jangkaan seperti serangan ULF.

Tapi, kapal perang jenis INTREPID itu yang saiznya 2 kali ganda lebih besar dari GAIA dan berkelajuan 5 warp itu sedang mengekori mereka semenjak dari Titan lagi. Malah tiada sebarang bentuk komunikasi daripadanya, ibarat mengintip dari jauh.  

Arahan dia ke?...Lelaki yang dihubunginya awal tadi memang mencurigakan, apatah lagi seingat dia bahawa lelaki itu Timbalan Ketua Bahagian Keselamatan dan Keamanan ESF yang juga adalah Ketua Keselamatan Pusat Angkasa. 

" Lee Yong " interkom bunyi mengejutkan Lee Yong.

" Ya, Zura? "

" Sila datang ke Bilik Perubatan dengan segera. Ada sesuatu yang kau harus tengok. "

Lee Yong terdiam sejenak. Jawapan mahupun soalan lagi yang akan dijumpainya.

" Ok. Saya akan ke sana segera " balas Lee Yong lalu bergerak ke pintu bilik kawalan sebelum dia berpusing memandang semula skrin visual itu.

" Ikmal, kekalkan posisi menuju ke Pluto. Saya andaikan mereka mungkin dah sedar akan keadaan sekarang dan akan bertindak segera. Kalau mereka masih mengekori seperti biasa, jangan buat apa-apa yang berlainan. Tapi kalau mereka menghampiri dengan lebih pesat, beritahu saya dengan segera. " Arahnya.

Ikmal sekadar mengangguk. Andai nak melarikan dari kapal yang dinamakan AXION itu, sudah pasti GAIA tidak menghadapi masalah. 
Namun itu akan menimbulkan lebih banyak masalah nanti, sementelah misi mereka kini menjadi lebih rumit sekali.

" Ramis, sedia sedia untuk bertindak. " kata Lee Yong sebelum dia melangkah keluar.

Ramis sekadar berdiam, matanya hanya tertumpu sahaja pada apa yang dilihatnya.
Kapal perang AXION...dah tiba masa ke? ..

----

Tubuh Raymond dalam keadaan meniarap berhampiran dengan komputer sensor di bilik selenggaran yang terletak di atas aras 1. Darah mengalir dari belakang kepalanya, berpunca dari hentakan yang kuat dari belakang. Tidak pasti keadaanya kini.

Dia yang sedang memeriksa punca kerosakan sensor dan komunikasi tidak jumpa apa-apa kerosakan. Tetapi melalui sistem diagnostik yang dijalankan, 
terdapat tambahan perisian asing yang dipasang. Perisian ini membolehkan sistem sensor dan komunikasi dimatikan serta merta menggunakan alat kawalan jarak jauh. Pasti ada orang lain yang pasangkan perisian ini. Tapi kenapa? Siapa....perkara ini bermain dalam fikirannya.

Namun perkara lain yang menimpanya dahulu.

No comments:

Post a Comment