Angkasa adalah suatu misteri yang luas, yang tiada hadnya dan sehingga kini masih menjadi pengejaran ribuan saintis untuk mengupas, mengkaji, menyelidik dan akhirnya menakluki.

Namun, adakah angkasa itu milik kita untuk dijadikan sedemikian?

Saturday, December 8, 2012

Bab 20 - Nebula


Vani sekadar merenung ke arah Ezwan dan juga Jasmeen yang berada di hadapannya kini.
Dia tak tahu pun yang ada orang lain berada di dalam kapal itu selain dari krew Limitless dan juga Arco.
Kini, dia sedikit buntu dengan keadaan sekarang. Lagipun di manakah Nora? Seingat dia Nora bersama-sama dengannya sedang berkawal di pintu kecemasan tersebut.

Arahan yang diberikan oleh Komander Dino amatlah jelas tatkala keadaan yang getir dialami mereka. Penemuan mayat yang tidak dikenali serta serangan dari entiti ULF yang setakat ni telah mengorbankan nyawa 2 kawannya yang lain termasuklah kehilangan Anie, James dan juga Sanjith. Kini Nora pula hilang.
Mungkin dia kembali semula ke bilik perubatan di aras 2? Tapi kenapa tinggalkan aku sorang-sorang kat sini? Nape aku leh pengsan tadi? Kecamuk fikirannya kini.

Vani sekadar duduk menyandari dinding. Keluh di hatinya dan juga kesal kerana menuruti arahan Dr Eliza. Dia sepatutnya tidak bersetuju dengan arahan yang diberikan untuk mencari data berkenaan suatu projek khas yang dikenali sebagai NX 01. Ianya berkenaan tentang misi dan juga data ekspedisi serta maklumat yang diperolehi oleh Limitless dalam menjalankan kajian tentang pintu 'black hole' tersebut. 

" Cik Vani, boleh tak awak terangkan pada saya apa yang sedang berlaku di sini? " soalan diajukan padanya tanpa sebarang persediaan mahupun pengenalan.

Perempuan yang bertanyakan itu tidak menunjukkan reaksi simpati langsung, getus Vani. Dia tidak menjawab, cuma menjeling ke arah lelaki yang berdiri di belakang perempuan itu.

" Cik Vani? " Jasmeen bertanya semula.

" Siapa kamu semua ni!? " Dia bertindak untuk bertanya dan memilih untuk tidak menjawab. 

Ezwan sekadar memegang bahu kanan Jasmeen menandakan tak perlu untuknya bertanyakan lagi. Dia merendahkan posisinya secara membongkok dan memandang tepat ke arah mata Vani. 

" Nama saya Ezwan, kapten kapal angkasa GAIA. Saya dalam misi untuk mencari dan menyelamat dan merungkai misteri kehilangan Limitless dan juga BLEU. "

" Kapten....kapten Ezwan? GAIA? " soal Vani mencari kepastian.

Ezwan sekadar mengangguk. Ditolehnya pada Jasmeen yang sedang memeriksa sesuatu di tablet-nya bersama Rohaizah.

" Mana Nora ?! " ditanyakan soalan tersebut dengan rupa yang gelisah, risau. 

" Siapa Nora? " 

Berapa ramai krew ARCO yang berada di sini, dan di mana Dr Eliza. Soalan-soalan ini bermain di dalam kepalanya, cuba melengkapkan permainan teka-teki sedia ada. Ezwan menanti jawapan dari Vani yang masih lagi kurang pasti dengan tindakannya ini.

RAHSIA! Itu jugalah peringatan yang diberikan oleh Dr Eliza kepadanya. Apa yang dilakukan oleh mereka di sini adalah sulit dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun, tidak kira apa jua. Tapi, perasaan takut menyelubungi dirinya semenjak mereka diserang oleh entiti ULF. Setahunya semua krew ARCO tidak pernah diberitahu tentang ancaman nyawa yang bakal dihadapi mereka tatkala tiba di sini. Dan Dr Eliza terus menghilangkan diri bersama-sama Komander Dino sejurus mereka berkumpul di bilik perubatan. 

" Vani. Siapa Nora? Dan di manakah Dr Eliza? " 

Vani berbelah bagi. Nak tak nak, dia terpaksa juga mendedahkan maklumat sedia ada demi keselamatannya dan juga yang lain. Walaupun kemungkinan akan dikenakan tindakan tatatertib jika dia berjaya kembali ke bumi, bersama dengan yang lain.

" Nora adalah kawan sekerja saya dan juga krew Arco. Kami berdua sepatutnya berkawal di sini sementara menunggu isyarat dari Dr Eliza dan juga Komander Dino " katanya sambil memandang ke bawah, dengan fikiran yang bercelaru. 

Ezwan berhenti sejenak apabila menyedari Ismail sedang mengatakan sesuatu kepada Jasmeen dan Rohaizah.
Namun dia memberikan sepenuh perhatian kepada Vani di samping cuba memahami beberapa persoalan yang ada.

" Siapa Komander Dino? " 

Terdiam seketika Vani. Seingat dia pada yang lelaki yang agak garang dan tegas dalam apa jua perkara yang ingin dilakukannya termasuklah dalam misi ini.
Sebarang kesilapan akan dibalas dengan jeritan kasar yang sememangnya digemari oleh Dino. Tabiat yang sememangnya tidaklah beretika dan bersifat kurang ajar. 

" Dia adalah Komander pasukan ARGO, yang juga menyertai ARCO dalam misi mencari data sulit berkenaan ekspedisi yang dijalankan oleh LIMITLESS "

Ezwan agak terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Vani. ARGO? Jasmeen juga kurang senang dengan apa yang didengarinya tadi, data sulit...

"Bukan ke ARGO harus berada di Titan dan tidak dibenarkan meninggalkan-nya langsung, kecuali Arco sahaja? " 

Apa yang Ezwan fahami 6 bulan yang lepas sebelum mereka tiba ke Titan mengatakan yang ARGO berada kekal di sana untuk sekurangnya 5 tahun dan tidak dibenarkan ke mana-mana jua atas arahan pihak ESF dan juga NASA. Namun sebab utamanya tidaklah diketahuinya. Amnya, ia berkenaan dengan sistem keselamatan yang digunapakai untuk melindungi Titan dari sebarang pencerobohan yang berkemungkinan. Apatah lagi sumber galian mineral X5 yang ditemui mereka, yang boleh digunakan untuk penjanaan kuasa yang lebih tinggi. Sumber kuasa yang amat diperlukan. 

"Betul, namun ARGO mendapat pelepasan terus daripada Laksamana AD Zuki untuk membantu Arco dalam melaksanakan misi ini. " 

" Laksamana AD Zuki ? " soal Jasmeen. Dia kenal siapa Laksamana AD Zuki itu. Baginya, orang itu sukar untuk difahami dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat yang dianggap penting baginya dan juga ESF.

" Ya." 

Dia ingat lagi waktunya komunikasi video diterima mereka 15 hari yang lepas daripada Laksamana AD Zuki. Tika itu, waktunya dah hampir 9.30pm dan boleh dikatakan semua krew Arco keletihan setelah 18 jam menjalankan proses galian dan ujikaji. Mereka sepatutnya dalam fasa terakhir untuk memastikan X5 benar-benar stabil dalam apa jua keadaan dan kegunaan dalam penjanaan kuasa tanpa sebarang kesan radioaktif.

Kesemua krew Arco seramai 11 orang termasuk Dr Eliza agak terkejut apabila diarahkan oleh AD Zuki untuk berlepas ke Pluto dengan segera bersama-sama pasukan Argo. Ramai krew Arco yang tidak berpuas hati dengan arahannya namun mereka akur apabila berjaya dipujuk oleh Dr Eliza. Sememangnya Vani amatlah menghormatinya, kerana peluang dan tunjuk ajar yang diberikan padanya itu.

Arahan yang disampaikan hanyalah untuk menyelamat pasukan GAIA yang dikhabarkan terhempas di planet Pluto dan pasukan Arco / Argo adalah satu-satunya pasukan yang terdekat untuk membantu mereka. Namun tibanya mereka di Pluto, Dr Eliza dan Komander Dino memberitahu tentang arahan sulit yang harus dilaksanakan dan ini hanya diketahui oleh pegawai kanan sahaja. Hanya dia dan Nora sahaja yang tahu arahan ini, manakala rakan-rakan yang lain masih anggapnya sebagai misi menyelamat.

Vani memarahi dirinya sendiri. Dia berasa menyesal kerana tidak membantah arahan Dr Eliza apabila mengetahui tentang arahan sulit itu, dan juga pembohongan tentang pasukan GAIA. Marah dan kesal. Sedih di atas kehilangan rakan yang lain. Namun itu sudahpun berlalu, dan kini....

Vani memandang semula ke arah Ezwan. Ditariknya nafas sebaik mungkin, cuba menghilangkan keresahan yang ada dan kini mengatur gerak dan langkah untuk memaklumkan suatu rahsia yang dia rasakan perlu untuk diketahui oleh Ezwan dan juga krew GAIA.

" Kapten Ezwan. Saya katakan tadi kami di sini adalah untuk mencari data sulit tentang ekspedisi yang dijalankan LIMITLESS. Data sulit berkenaan tentang pintu 'black hole' yang terbentuk di ruang angkasa P5." 

Ezwan tidak menunjukkan sebarang reaksi, menanti ayat seterusnya yang keluar dari mulut Vani.

" Pintu "black hole" tersebut adalah kunci untuk menyambungkan galaksi ini dengan galaksi nebula 4 " katanya dengan perlahan.

Ismail yang terdengar kata-kata Vani terkejut, tidak mempercayai langsung apa yang dikatakan oleh Vani. Galaksi nebula 4..? Carta nebula galaksi yang ada ini merangkumi 4 jenis kuadran yang dikategorikan sebagai 1,2,3 dan 4. Dan setiap nebula ini jarak jauhnya adalah sejauh 70ribu kelajuan cahaya di mana secara teorinya akan mengambil masa selama 70 tahun untuk menjelajah ke setiap satu nebula tersebut andai menggunakan teknologi kelajuan warp 9.

Tatkala itu jua, lampu cahaya yang bekerlipan dari bola cahaya di ruang koridor aras tersebut terpadam dengan sendirinya. Nik dan Lee segera menutup pintu masuk kecemasan itu dengan segera, dan mulakan langkah mereka menuruni tangga ke aras 3 setelah Nathan mengesahkan semuanya dalam keadaan terkawal.

Ezwan memberi isyarat kepada Jasmeen untuk membantu Vani menuruni tangga tersebut, sementara dia ingin bertanyakan Ismail dengan lebih lanjut tentang suatu kemusykilan di dalam hatinya.

" Apa pendapat kau Ismail? " 

Ismail mendiamkan diri sambil cuba mengingati sesuatu, tentang sesuatu yang mungkin ada kaitan dengan apa yang dinyatakan oleh Vani tadi.
Namun dia hampa jua. Fikirannya terasa blur secara tiba-tiba, hairan. Ibarat dia terasa seperti ingatannya hilang, satu kenangan mahupun peristiwa. 
Tidak pernah dia merasakan sebegini. Perasaannya keliru, tidak pasti apa yang sedang berlaku padanya. 

" Maaf kapten, saya kurang pasti tentang ini. Biar saya fikirkan dahulu...." katanya lalu melangkah turun anak tangga secara perlahan-lahan ibarat seorang yang tengah sakit.

Ezwan kurang pasti apa yang difikirkan oleh Ismail. Wajahnya nampak muram dan kemerah-merahan, serta berkerut dahinya tanpa sebarang sebab.
Dia cuma berharap semuanya ok tanpa sebarang masalah yang tidak diingini.

Kemusykilannya masih lagi tak terjawab..

" Deena... u tahu ke tentang ini semua..." 

No comments:

Post a Comment